SELANGOR

Pastikan Selangor kekal di bawah PAKATAN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 APR: Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memastikan negeri itu kekal di bawah gagasan itu serta tidak membiarkan jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri yakin seluruh rakyat Selangor akan mempertahankan kerajaan sedia ada sekarang ini.

“Pada masa sama, kita mahukan rakyat bersatu hati jatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan beri peluang PAKATAN mentadbir Putrajaya.

“Kita akan meletakkan pemimpin terbaik yang boleh mentadbir negara ini sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Daroyah yang juga selaku Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, berkata, segala dasar berkonsepkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang sudah dilaksanakan Kerajaan Negeri kepada rakyat selangor bakal diperluaskan di seluruh negara sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Kita sudah laksanakan pelbagai program IPR oleh itu ia tidak menjadi halangan untuk dilaksanakan di Putrajaya kelak, tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Kita akan pulangkan kepada rakyat apa yang sudah kerajaan BN ambil daripada mereka sebelum ini malah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga akan dihapuskan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman tarikh pembubaran Parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lain daripada lain.

Daroyah berkata, PAKATAN tidak hairan bila pun pembubaran diumumkan, yang pasti PAKATAN sentiasa bersedia menghadapi PRU14 akan datang.

“Bila pun Najib mahu bubar, esok ke, lusa ke, kita PAKATAN sentiasa bersedia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :