SELANGOR

Peluang cerah PAKATAN menang semua kerusi di DUN & Parlimen di Petaling Jaya

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) optimis untuk mengekalkan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah P105 Parlimen Petaling Jaya walaupun berhadapan saingain tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Calon KEADILAN P105 Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah melaungkan keyakinan untuk mengekalkan kemenangan kerusi ini buat PAKATAN walaupun kali pertama bertanding.

Beliau berkata, keutamaan kini bukan hanya untuk mengekalkan kemenangan Petaling Jaya tetapi di seluruh Malaysia bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.

“Kita membawa agenda baru dan reformasi untuk negara, itu yang diperlukan sekarang.

“Saya sangat berharap rakyat akan keluar mengundi untuk melakukan perubahan,” katanya.

Katanya, pelbagai cabaran akan dihadapi dalam tempoh berkempen selama 11 hari dan beliau berharap mempunyai peluang ‘bernafas’ sehingga hari pembuangan undi memandangkan terikat dengan kepadatan jadual.

Mengenai perjalanan kempen, bekas Pengerusi Bersih 2.0 ini berkata pelbagai program sudah disusun antaranya ‘walkabout’, pertemuan dengan komuniti, aktiviti bersama wanita dan siri ceramah.

Bagi penyandang kerusi N34 DUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang mewakili KEADILAN, beliau akan bekerja keras sepanjang tempoh berkempen dan meyakinkan pengundi bahawa Kerajaan Negeri dibawah pimpinan PAKATAN adalah yang terbaik.

“Saya lihat peluang untuk menang cerah dan selama lima tahun ini saya sudah bekerja keras untuk rakyat.

“Walaupun berhadapan saingan lebih daripada dua penjuru namun bagi saya setiap pilihan raya ia bukan muda dan menjadi tanggungjawab saya meyakinkan rakyat memilih Pakataan Harapan,” katanya.

Sementara itu, calon KEADILAN di N32 DUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin tetap yakin untuk mengekalkan kemenangan yang diraih pada PRU-13 walaupun kali ini terpaksa berhadapan saingan empat penjuru.

Katanya, cabaran utama adalah saingan daripada calon dari parti politik dan beliau berpandangan calon BEBAS tidak akan memberikan ancaman besar.

“Kita mempunyai potensi besar untuk menang memandangkan pada PRU-13, majoriti kita lebih 4,000 undi.

“Dengan jentera yang sudah diperkemaskan disamping penyatuan gerak kerja bersama yang lain, saya yakin kita akan menang Insya-Allah,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :