NASIONAL

PRU14 peluang rakyat bertindak, Umno-BN nafi hak rakyat bersuara

OLEH HAFIZAN TAIB

PADANG SERAI, 21 APR: Rakyat harus bertindak menghukum kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) kerana parti itu menafikan hak rakyat untuk bersuara dalam sistem demokrasi.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, tindakan Umno-BN meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 dalam sidang Parlimen, baru-baru ini, adalah bukti jelas bagi menghalang rakyat mengkritik pentadbirannya.

“Tugas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan kerajaan Persekutuan adalah menjaga rakyat tetapi apa dibuatnya adalah cuba mendiamkan rakyat dengan meluluskan RUU Anti Berita Tidak Benar 2018.

“Selepas ia diluluskan, apabila rakyat mengkritik kerajaan antaranya berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) maka tindakan boleh dikenakan ke atas rakyat,” katanya dalam Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda di Tapak Pasar Malam, Labu Besar di sini, malam tadi.

Ceramah itu adalah salah satu program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi mendekati rakyat menjelang pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Beliau berkata, ia jelas membelakangkan kepentingan rakyat di negara ini sebagaimana dijelaskan ahli falsafah terkenal Arab, Ibnu Khaldun, bahawa hak rakyat untuk bersuara dan mengkritik kerajaan tidak boleh diambil mana-mana pihak pemerintah.

Katanya, PRU14 adalah peluang terbaik rakyat bagi melakukan perubahan terhadap pentadbiran kerajaan di Putrajaya.

“Kita suka kalau melakukan sesuatu kejayaan hingga mencipta rekod tetapi dalam tempoh Umno-BN bertapak di Putrajaya dalam tempoh lebih kurang 60 tahun adalah mencipta skandal terbesar di dunia iaitu 1MDB.

“Ia memalukan kita maka tidak mungkin kita mahu memberi Umno-BN serta Perdana Menteri peluang lagi untuk mentadbir negara,” katanya.

=EZY=


Pengarang :