BERITA UTAMASELANGOR

RM3.3 juta bantu manfaat takaful golongan tani

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 APR : Sejumlah RM3.3 juta diluluskan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan inisiatif berkebajikan Skim Takaful Pesawah kepada golongan tani, di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, senarai petani berkelayakan sudah didaftarkan di bawah pelaksanaan skim berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pengumuman berkenaannya akan diumumkan di peringkat pentadbiran negeri oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita luluskan RM3.3 juta untuk pelaksanaan Skim Takaful Pesawah dengan proses pendaftaran pesawah sudah selesai dijalankan.

“Untuk tempoh kini, kita masih menunggu perancangan membuat pengumuman lanjut pelancaran skim ini kepada pesawah seluruh negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar dalam pengumuman Belanjawan Selangor turut memfokuskan tanggungjawab berkebajikan kepada pesawah.

Justeru, pelaksanaan Skim Insuran Pesawah diperkenalkan secara percuma membabitkan 10,000 pesawah seluruh negeri.

Melalui skim berkenaan, pesawah akan menerima beberapa manfaat yang dilihat bakal memberi manfaat jangka panjang kepada penggiat industri itu.

Skim berkenaan turut mensasarkan bantuan manfaat perubatan, perlindungan akibat hilang upaya kekal atau menyeluruh dan juga infaq kematian.

Untuk rekod, skim berkenaan diperkenalkan buat kali pertama tahun ini di peringkat negeri dan Persekutuan.


Pengarang :