PBTSELANGOR

RT MPKj 2035: Gabung, tambah baik sedia ada

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 5 APR: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), hari ini melancarkan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan (RT) MPKj 2035 (Penggantian), yang mengandungi strategi dan cadangan pembangunan terperinci Pihak Berkuasa Tempatan itu sehingga 2035.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, RT itu menggabungkan sedia ada dan ditambah baik, mengambil kira dasar di peringkat Persekutuan seperti Rancangan Fizikal Negara, Dasar Perbandaran Negara serta dasar dan polisi Kerajaan Negeri digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri.

“Sehingga kini, MPKj mempunyai lima RT sedia ada diwartakan pada 20 Januari 2011, RT MPKj (Pengubahan 1) 2020 diwartakan pada 23 Mei 2013, RT MPKj (Pengubahan 2) 2020 diwartakan pada 9 April 2015, RT MPKj (Pengubahan 3) 2020 diwartakan pada 21 Julai 2016 dan RT MPKj (Pengubahan 4) 2020 diwartakan pada 23 November 2017 yang akan tamat pada 2020 maka RT MPKj 2035 menggantikannya.

“Ia selaras keperluan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), bertujuan memaklumkan kepada orang awam berkenaan cadangan MPKj mengantikan RT sedia ada, selaras visi utama pembangunan MPKj menjadikan Kajang ‘liveable city’ sebagai bandar pilihan untuk didiami yang kondusif dengan perkhidmatan perbandaran dan alam sekitar lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu, di Lobi MPKj di sini, hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, RT itu mengambil kira corak pembangunan sedia ada supaya selaras dengan trend, keperluan dan kehendak pada masa kini ekoran tekanan pembangunan pesat di kawasan MPKj serta kelulusan projek Kerajaan Persekutuan seperti MRT, EKVE, SUKE, CSTP juga Langat 2.

“Perkara ini menarik minat pemaju hartanah membangunkan kawasan baru berskala besar, terutama di Semenyih dan Beranang.

“Di samping itu, ia memberi peluang dan potensi pembangunan Majlis dikenal pasti dengan setiap kawasan berkenaan dicadangkan teras bersesuaian serta cadangan projek yang akan menyumbang impak besar kepada MPKj,” katanya.

Terdahulu, pelan draf RT itu diperkenalkan kepada ahli Majlis semasa mesyuarat lembaga penuh MPKj pertama baru-baru ini, yang mana pelan sedia ada sebelum ini tamat pada 2020, maka pihak Majlis menyediakan pelan dilanjutkan sehingga 2035.


Pengarang :