NASIONAL

284 kotak tas tangan, 72 beg barang kemas dirampas berkait 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Sebanyak 284 kotak mengandungi tas tangan mewah pelbagai jenama dan 72 beg berisi barang kemas serta wang tunai pelbagai mata wang dirampas polis dipercayai berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, rampasan itu dijalankan ekoran ia mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari beberapa kondominium mewah di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

“Jumlah nilai rampasan tidak dapat ditentukan lagi kerana jumlah barang yang dirampas adalah banyak.

“Polis akan membuat pemeriksaan secara terperinci bagi menentukan jumlah nilai sebenar rampasan,” katanya dilapor Free Malaysia Today.

Difahamkan polis berada di lokasi sejak kira-kira 7.30 malam.

“Antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton.

“Bagaimanapun, ketika operasi dijalankan tiada penghuni di unit kediaman berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Polis terpaksa menggunakan lima trak polis untuk membawa bagasi dan kotak beg tangan mulai jam 12. 15 tengah malam dan selesai dua jam setengah kemudian.

Amar berkata, JSJK juga membuat pemeriksaan serentak sejak malam kelmarin di enam permis bagi membantu siasatan kes 1MDB iaitu Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini serta tiga unit kediaman di kondominium tersebut.

Diminta menjelaskan mengenai pemilik tiga unit kediaman tersebut, Amar berkata, salah satu daripada unit itu milik seorang “Tan Sri”, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

 


Pengarang :