SELANGOR

39 pembantu penguat kuasa sertai kursus asas parajurit muda

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 4 MEI: Seramai 39 pembantu penguat kuasa yang mewakili pelbagai jabatan menyertai Kursus Latihan Asas Parajurit Muda Penguatkuasa Selangor Siri 1/2018.

Kursus itu bermula pada 25 Mac lalu dan majlis penutup disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, hari ini.

Mohd Amin dalam ucapannya menasihatkan supaya anggota terbabit bertugas dengan lebih berdisiplin, berjiwa kental, tabah dan berkeyakinan apabila menjalankan tugas.

“Tugas sebagai seorang penguat kuasa di Selangor amat mencabar dan berisiko tinggi, lebih lagi apabila kita membuat tindakan perobohan atau memberikan kompaun kepada individu yang melakukan kesalahan.

“Pasti ada pihak yang bertindak agresif dan individu pastinya akan melakukan provokasi sama ada dengan kata-kata atau tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya anggota lebih bersabar dan menanganinya dengan berhemah.

Terdahulu, Mohd Amin turut melaksanakan pemeriksaan tamat latihan selain menyerahkan sijil dan lencana kepada peserta.


Pengarang :