BERITA UTAMASELANGOR

Azmin kembali dilantik Dato’ Menteri Besar

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kembali dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor selepas diperkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis istiadat angkat sumpah dan pelantikan ke jawatan itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Majlis bermula dengan kebarangkatan masuk Sultan Selangor diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Mohamed Azmin kemudiannya mengangkat sumpah dan ikrar aku janji di hadapan Sultan Selangor.

Baginda selepas itu menganugerahkan surat pelantikan jawatan kepada beliau.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Pelantikan ini adalah kali kedua buat Mohamed Azmin sebagai Dato’ Menteri Besar selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya kekal di Selangor dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dengan majoriti dua pertiga.

Kali pertama beliau dilantik bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada 2014.

 


Pengarang :