SELANGOR

Cuba dapat nama tiru manifesto

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 MEI: Tidak cukup meniru manifesto di peringkat nasional dan negeri, Datuk Zein Isma Ismail juga meniru manifesto dibentangkan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, tindakan calon Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja membuktikan parti berkenaan ketandusan idea, malah cuba mendapat nama atas usaha dijalankannya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri kawasan itu.

“Dalam manifestonya, dia kata akan laksanakan projek pasar bertingkat sedangkan cadangan itu saya usahakan semasa penggal lalu lagi dan sudah diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Tiba-tiba dalam manifestonya juga nak bina pasar bertingkat sama seperti salah satu dalam manifesto saya, BN ini bukan sahaja tandus idea tetapi tidak tahu malu,” katanya dalam ceramah kelompok di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, malam tadi.

Mohd Khairuddin berkata, projek itu akan dijalankan sebaik sahaja satu pendengaran awam dijalankan kerana membabitkan kawasan lapang berhampiran tapak projek dirancang.

Katanya, projek pasar bertingkat itu mengambil konsep seperti pasar Siti Khadijah, di Kelantan yang dibina bagi mengatasi kesesakan lalu lintas ekoran tapak pasar malam berhampiran jalan utama Kepong ke Kuala Selangor.

“Pasar malam ini diadakan tiga kali seminggu dan menyebabkan kesesakan kadangkala hingga ke pasar raya The Store,” katanya.


Pengarang :