NASIONAL

Shamsul Iskandar: Melaka ‘the next Selangor’

OLEH HAFIZAN TAIB

MELAKA, 8 MEI: KEADILAN Melaka yakin sokongan rakyat akan berpihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) untuk mengambilalih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi KEADILANnya, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PAKATAN kali ini memasuki gelanggang PRU dengan matlamat membentuk kerajaan dan dengan sokongan rakyat, ia petanda positif terhadap perubahan tidak hanya di Melaka tetapi di peringkat Persekutuan.

“Kita nak membentuk kerajaan baharu bukan setakat di peringkat negeri tetapi juga Persekutuan bagi menggantikan BN yang sudah terlalu lama berkuasa.

“Pada 9 Mei ini hanya dua keadaan kita pergi Putrajaya dan Seri Negeri,” katanya dalam program Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia ke Melaka di Kampung Solok Baroh, di sini, semalam.

Seri Negeri adalah bangunan kompleks Setiausaha Kerajaan yang menempatkan pentadbiran Kerajaan Melaka.

Beliau berkata, dalam tempoh kempen PRU diadakan, rakyat menunjukkan sokongan ketara yang menjanjikan peluang cerah kepada PAKATAN.

Katanya, dengan momentum positif itu diyakini akan menjadi kenyataan dan Melaka akan menjadi seperti Selangor yang menikmati pelbagai kemajuan untuk manfaat rakyat dalam tempoh 10 tahun dipimpin PAKATAN.

“Dengan perubahan berlaku ini, saya kira Melaka akan menjadi ‘the next Selangor’ atau mungkin lebih baik,” kata Naib Presiden KEADILAN itu yang juga penyandang Parlimen Hang Tuah Jaya.

Pada PRU kali ini, beliau turut bertanding di Dewan Undangan Negeri Rim.

Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN juga Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

=EZY=


Pengarang :