BERITA UTAMA SELANGOR

DSAI menjunjung kasih, calon MB Selangor bakal dimuktamadkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Calon Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu sudah berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan sebelum istiadat angkat sumpah dilangsungkan, pada 19 Jun ini.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KEADILAN akan terus memegang jawatan selaku Dato’ Menteri Besar kerana memenangi majoriti kerusi.

Katanya, perkara itu antara yang disentuh dalam pertemuan beliau bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

“Saya mengadap DYMM Sultan Sharafuddin dan menjunjung kasih atas kesudian tuanku memberikan masa yang panjang dan berbincang soal Selangor serta masa depan.

“Kita bincang soal perubahan Selangor untuk menggantikan menteri besar.

“(Calon Menteri Besar) Itu kita bincang bersama dan akan putuskan. Ia hampir muktamadkan. Parti yang majoriti dan dalam kes ini adalah KEADILAN,” katanya kepada media di luar perkarangan Istana Bukit Kayangan.

Anwar sebelum itu mengadap Sultan Sharafuddin hampir satu jam setengah sejurus tiba sekitar jam 10 pagi dan keluar, pada 11.35 pagi.

Hadir sama dalam pertemuan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang meninggalkan perkarangan istana, sekitar jam 11.45 pagi.

“Pertemuan yang baik, Alhamdulillah,” katanya.


Pengarang :