SELANGOR

Four Points by Sheraton penuhi citarasa kampung

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 31 MEI: Four Points by Sheraton mempertaruhkan pelbagai hidangan bertemakan ‘Warisan Sajian Juadah’ untuk bufet Ramadan yang disediakan secara ekslusif di restoran mewah dan santai, The Eatery.

Menyajikan lebih 100 juadah citarasa Malaysia dan barat, ia merupakan hasil resepi dan pengalaman Chef Sous Muhamad Khairul Ashraf Mohd Pilus bersama krewnya.

Menariknya, bufet Ramadan kali ini menyajikan pelbagai variasi sate bakar antaranya sate ayam, sate kambing, sate rusa, sate udang dan sate daging turut dilengkapi bersama nasi impit serta kuah kacang yang pastinya menambat selera anda.

Selain itu, kepada penggemar laksa turut disediakan pelbagai jenis pilihan laksa seperti assam laksa, Nyonya laksa, laksa Johor dan kari laksa.

Tidak lengkap rasanya berbuka tanpa nasi, jadi bufet Ramadan ini turut menyediakan pelbagai pilihan nasi bersama lauk-pauk seperti gulai daging kambing, nangka masak lemak, kurma daging, aneka kerabu dan sayur-sayuran.

Turut terhidang sajian pembuka selera seperti Swawarma Ayam, Roti John Ayam dan Sardin serta ‘homemade’ popiah goreng yang mengandungi lebih banyak ramuan seperti kulat hitam, lobak merak, bawang, timun dan tauge.

Malah yang uniknya, lemang pulut hitam dengan tekstur lebih krim dimakan bersama serunding ayam dan daging serta rendang.

Bagaimanapun, tidak lengkap bufet Ramadan tanpa kambing bakar oleh itu The Eatery turut menyajikan menu berkenaan yang dibakar terus di hadapan pelanggan.

Untuk menu penutup, bufet Ramadan The Eatery turut menyajikan pelbagai variasi buah-buahan tempatan, rojak buah, pengat nangka, bubur kacang hijau serta dodol.

Antara pencuci mulut lain adalah kuih lapis, kuih talam, kuih bahulu, puding karamel, tart nanas, aneka roti dan aneka kek.

Promosi bufet Ramadan The Eatery boleh didapati seawal Ramadan hingga 14 Jun bermula jam 6.30 petang hingga 10.30 malam dengan tawaran harga RM128 (dewasa) dan RM64 (kanak-kanak).

Untuk tempahan boleh hubungi 0358918855 atau email ke [email protected].


Pengarang :