EKONOMI

Harga minyak dunia catat penurunan

SINGAPURA 23 MEI: Harga minyak turun hari ini ditarik oleh kebimbangan pasaran mengenai tindakan berkemungkinan OPEC meningkatkan bekalan pada awal Jun ini walaupun disebalik risiko geopolitik.

Dagangan hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$79.53 satu tong pada 0006 GMT, mencatatkan penurunan 4 cent selepas meningkat sebanyak 35 cent semalam.

Minggu lalu, penanda aras global itu mencecah AS$80.50 satu tong, paras tertinggi sejak November 2014.

West Texas Intermediate (WTI) pula merosot 2 cent kepada AS$72.18 satu tong, setelah menokok pada Selasa kepada AS$72.83 satu tong, juga paras tertinggi sejak November 2014.

“Risiko geopolitik menjadi faktor kerisauan pelabur. Setiausaha Negara Amerika Syarikat juga baru-baru ini menuntut agar Iran menghentikan semua operasi uranium dan memberikan akses kepada pemeriksa nuklear di seluruh negara,” kata firma penyelidikan ANZ dalam satu nota.

“Bagaimanapun, pelabur menunggu rundingan yang akan berlangsung antara Russia dan Arab Saudi mengenai tindakan mereka dalam perjanjian potongan output.” katanya.

OPEC mungkin memutuskan untuk menaikkan pengeluaran minyak pada Jun disebabkan kebimbangan terhadap bekalan Iran dan Venezuela dan selepas Washington membangkitkan kebimbangan pasaran minyak kini semakin tidak stabil.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :