NASIONAL

Janji ambil alih ikut perlembangaan

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 6 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) berjanji akan mengambil alih negara secara demokrasi dan berpelembagaan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, tidak timbul huru hara dalam peralihan kuasa kerana PAKATAN sentiasa memelihara demokrasi.

“Saya ingin berpesan pada Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Pegawai Tinggi Kerajaan yang lain supaya menghormati demokrasi.

“PAKATAN akan mengambil alih mengikut demokrasi, berpelembagaan dan tidak timbul huru hara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Beliau yang juga calon P111 Kota Raja turut mendakwa Barisan Nasional (BN) kini diibaratkan seperti ais yang semakin mencair.

Katanya, ia berlaku lebih drastik apabila Tun Daim Zainudin, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz menyokong kepimpinan PAKATAN.

“Kita pergi roadshow ke seluruh negara dan kita melihat tsunami rakyat berlaku, di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Juga negeri-negeri lain, kita dibanjiri lautan manusia yang sangat luar biasa,” katanya.


Pengarang :