NASIONAL

Kerajaan Persekutuan dijangka umum bonus Aidilfitri

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 MEI: Kerajaan Persekutuan dijangka akan memberikan bonus kepada penjawat awam bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan hadapan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian berhubung jumlah bonus.

“Kita akan bagi bonus, banyak mana tak tahu lagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Sebelum ini, jumlah pemberian bantuan Aidilfitri menjadi tumpuan pelbagai pihak memandangkan Kerajaan Persekutuan hanya memberikan RM500 kepada penjawat awam semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan kedudukan Biro Tata Negara (BTN) sama ada dikekalkan atau sebaliknya.

“Banyak badan ditubuh bukan untuk kerajaan tetapi untuk BN. Mereka guna duit kerajaan untuk bayar gaji,” katanya.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengumumkan pembubaran Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).


Pengarang :