SELANGOR

Khairuddin: Rakyat Paya Jaras restui penghijrahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 11 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menyifatkan kejayaan beliau mempertahankan kerusi itu kerana pengundi merestui langkah beliau berhijrah ke parti KEADILAN.

Mohd Khairuddin berkata, beliau bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, malahan berjaya meningkatkan majoriti pada PRU14 kali ini.

“Ini menunjukkan rakyat tak kisah saya bertanding atas tiket parti apa tetapi apa yang penting saya mampu berkhidmat kepada masyarakat di sini,” katanya.

Jelasnya, selain itu, kekuatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pemimpin yang peduli rakyat turut membantu beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zein Isma Ismail dan calon PAS, Hanafi Zulkapli.

Beliau turut menyifatkan langkah Mohamed Azmin memperkukuh dan memperluaskan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebagai garis panduan kerja ADN untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Apabila IPR diturunkan kepada ADN, mereka perlu buat program untuk pastikan kumpulan sasaran terima inisiatif sekali gus menunjukkan hala tuju kepada setiap ADN di Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Khairuddin diumumkan menang di kerusi Paya Jaras dengan majoriti 12,072 undi berbanding 5,522 pada PRU-13.


Pengarang :