EKONOMI NASIONAL

Konsep perwakilan politik dalam GLC diubah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 MEI: Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya mengekalkan profesionalisme dan memelihara kepentingan pemisahan antara pengurusan profesional dengan sebarang gangguan tidak diingini daripada pihak luar atau ahli politik.

Menurut kenyataan media bersama enam syarikat berkaitan kerajaan berkata, mereka juga menyambut baik gesaan supaya kedudukan perwakilan politik di dalam GLC dikaji semula.

“Dalam dialog itu, Tun Daim menegaskan keperluan untuk tabung ini mengekalkan profesionalisme demi kepentingan waris, negara dan akhirnya rakyat.

“Untuk tabung yang mempunyai perwakilan politik dalam lembaga pengarah masing-masing, Tun Daim menegaskan, bahawa ini akan dikaji semula dan diubah seperti yang dikehendaki,” kata kenyataan media yang dikeluarkan.

Kenyataan media bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad; CEO Kumpulan Wang Persaraan (diperbadankan), Datuk Wan Kamarulzaman Wan Ahmah; Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah.

Kenyataan itu berkata, saranan berkenaan disampaikan pada program dialog antara Daim dan kumpulan itu, baru-baru ini.

Katanya, perubahan yang berlaku hari ini adalah peluang terbaik untuk memulihkan ekonomi negara dan memberi keyakinan kepada pasaran yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Daim turut memaklumkan, Majlis Penasihat akan memanfaatkan GLC yang sesuai untuk membantu daripada segi maklumat, sumber dan input dalam menangani pelbagai isu yang dibentangkan kerajaan.


Pengarang :