BERITA UTAMANASIONAL

Kutuk serangan berani mati di Surabaya

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melahirkan rasa simpati dan mengutuk serangan berani mati dilakukan di tiga gereja di Surabaya yang mengorbankan sembilan nyawa.

Beliau berkata, pihak berkuasa harus menjalankan siasatan segera bagi nengenal pasti pihak bertanggungjawab.

“Saya mengutuk serangan dikatakan dilakukan pengebom berani mati ke atas gereja di Surabaya, Indonesia.

“Saya berdoa agar mereka yang terjejas diberi kekuatan dan kesabaran, dan pihak bertanggungjawab di belakang jenayah kejam ini segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Seramai sembilan orang terbunuh manakala 40 lagi mengalami cedera dalam kejadian serangan bom bunuh diri berlaku di tiga gereja di Surabaya, lapor Bernama hari ini.

Kejadian hampir serentak pada kira-kira jam 8 pagi itu apabila pengebom bunuh diri memasuki tiga gereja di Gereja Katolik Santa Maria Tak Bercela, Gereja Kristen Indonesia dan Gereja Pantekosta, lalu meletupkan diri mereka.

Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban.

=EZY=


Pengarang :