NASIONAL

Lebih 50,000 banjiri Malam Semarak Tsunami Rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 6 MEI: Lebih 50,000 membanjiri Padang AU2 Keramat, di sini bagi mendengar amanat daripada pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Rakyat mula membanjiri padang itu seawal jam 6 petang, walaupun hujan lebat selama hampir dua jam, mereka tetap tidak berganjak.

Laungan ‘hidup rakyat’ dan ‘Pakatan Harapan’ mengamatkan kawasan terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sambutan luar biasa itu menunjukkan kebangkitan rakyat di seluruh negara.

“Ini baru menjelang 9 Mei, belum lagi kita rampas Putrajaya. Malam ini, kita melihat semua rakyat bersatu, tidak kira Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain.

“Kita bersatu menolak kerajaan yang rakus. Di sini, puluhan ribu rakyat Selangor. Kalau UMNO teringin rampas boleh ke?

“Kita mahu bagi Selangor kepada Noh Omar? Jamal? Jangan..Serahkan mandat kepada PAKATAN,” katanya disambut sorakan rakyat.

Beliau berkata demikian di Malam Tsumami Rakyat, di Padang AU2, Keramat, di sini.

Timbalan Presiden KEADILAN itu turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa PAKATAN tidak perlu memberi dedak untuk meminta rakyat hadir ke ceramah PAKATAN.

“Saya tidak perlu menyewa bas untuk rakyat datang. Media maklumkan kepada Najib, rakyat datang sendiri.

“Rakyat tidak diberi wang, tidak dibawa bas dan tidak diberi dedak. Tetapi kami bertekad untuk tumbangkan UMNO,” katanya.


Pengarang :