Penyokong Pakatan Harapan berkumpul diperkarangan Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 27 April 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK KKB: Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan terkawal

HULU SELANGOR, 27 APRIL: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) berlangsung dalam keadaan terkawal.

Cuaca cerah pagi ini membolehkan penyokong Kerajaan Perpaduan berhimpun di perkarangan Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Terdahulu, calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao tiba di Pusat Penamaan Calon pada jam 8.45 pagi.

Turut hadir memberi sokongan Persatuan Gabungan Teksi Malaysia yang membawa kenderaan masing-masing dengan membawa kain rentang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Kelihatan juga puluhan pegawai dan anggota polis ditugaskan termasuk Pasukan Penggempur Ringan (LSF) bagi memantau keselamatan sekitar kawasan penamaan.

Anggota polis termasuk Pasukan Penggempur Ringan (LSF) memantau keselamatan sekitar kawasan penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada 27 April 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK KKB adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK KKB diadakan susulan kematian Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Pengarang :