NASIONAL

Majlis Penasihat Kerajaan panggil wakil MoF, GLC dan NGO

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Majlis Penasihat Kerajaan mengadakan pertemuan dengan beberapa lagi pegawai kerajaan serta wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan maklumat berkaitan subsidi bahan api, pelaburan juga percukaian negara, hari ini.

Pertemuan terbabit bermula pada jam 10.30 pagi dan tamat 12.30 tengahari, di Tingkat 60, Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Antara yang dipanggil pada sesi pertama ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Komersial) Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan Kementerian Kewangan, Datin Rashidah Mohd Sies.

Difahamkan, sesi kedua pertemuan membabitkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, namun kedua-duanya tidak kelihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Sabin Samitah, pula dijangka bertemu Majlis Penasihat Kerajaan, petang ini.

Sebelum ini, Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tan Sri Irwan Serigar, yang terpalit skandal enggan buka mulut selepas menghabiskan masa dua jam disoal Majlis Penasihat Kerajaan.

Majlis yang menasihati Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu diketuai bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin selain bekas Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, pakar ekonomi terkemuka, Profesor Jomo Kwame Sundaram dan hartawan, Tan Sri Robert Kuok.

 


Pengarang :