BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin trending dalam twitter

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjadi carian tertinggi di laman twitter sejak malam tadi.

Malah nama Menteri Besar Selangor itu menjadi trending dengan lebih 6,000 tweet daripada pengguna twitter.

Situasi tersebut berlaku setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sekaligus telahpun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada Jumaat lalu.

Rata-rata netizen menyatakan kegembiraan mereka dengan lantikan tersebut dan berharap supaya Mohamed Azmin meneruskan kecemerlangan beliau ke peringkat Kerajaan persekutuan.

Namun situasi berlainan bagi rakyat Selangor yang dilihat meluahkan rasa sedih berikutan Dato’ Menteri Besar itu sebelum ini dilihat cemerlang dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Salah seorangnya, Nurainie Haziqah dalam twitternya memberitahu, sebagai penduduk Selangor dia begitu menyukai pentadbiran Mohamed Azmin namun mahu beliau membina kerjaya politik lebih baik di peringkat tertinggi.

“Ini adalah dilema rakyat Selangor,” tulisnya.

Bagi Fred pula, orang akan mengatakan rakyat Selangor pentingkan diri sekiranya tidak membenarkan Mohamed Azmin menjadi menteri gara-gara mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar.

“Tetapi sebagai rakyat Malaysia saya mahu melihat beliau menjadi menteri dan menunjukkan kepada orang ramai bagaimana Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor mendapat 91 peratus undian daripada rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :