NASIONALPELANCONGAN

Pengusaha hotel mahu cukai pelancongan dimansuhkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 MEI: Pengusaha hotel menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memansuhkan cukai pelancongan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan sepenuhnya, bermula 1 Jun ini.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), PK Leong berkata, sebelum ini GST menjejaskan kuasa perbelanjaan orang ramai.

“Jadi disebabkan itu, orang ramai perlu mengurangkan perbelanjaan tidak perlu seperti melancong. Tetapi, cukai pelancongan lebih memudaratkan pengusaha hotel kerana ia adalah kos tambahan untuk pelancong asing,” katanya dipetik FMT.

Sebelum ini, Kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan cukai pelancongan yang berkuat kuasa secara rasmi, pada 1 September lalu.

Cukai itu dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik setiap malam bagi pelancong asing yang menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.

Leong berkata, disebabkan itu pelancong asing memilih negara lain berbanding ke Malaysia khasnya mereka yang melancong dengan bajet terhad.

“Bayangkan, jika kadar untuk hotel bajet ialah RM100 satu malam dan cukai pelancongan RM10 iaitu tambahan 10 peratus, setiap malam.

“Kajian MyBHA mendapati purata penginapan pelancong asing di hotel bajet merosot daripada 60 peratus sebelum pelaksanaan cukai pelancongan kepada 30 peratus,” katanya.


Pengarang :