PENDIDIKANSELANGOR

Pernah jadi guru, MB fahami peranan dan cabaran pendidik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Peranan dan cabaran sebagai warga pendidik bukanlah asing bagi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali apabila beliau sendiri memiliki pengalaman mengajar matematik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak.

Mohamed Azmin berkata, beliau selepas itu terlibat secara aktif di Kementerian Pendidikan pada akhir 1980-an ketika pendidikan negara sedang melalui fasa peralihan ke arah sistem dan pendekatan lebih bersepadu.

“Justeru itu, saya dapat memahami peranan warga pendidik yang amat mencabar.

“Setelah sekian lama terpisah, hari ini kita bertaut semula di Majlis Apresiasi Pendidikan Sempena Perayaan Hari Guru Tahun 2018,” katanya di hadapan kira-kira 2,400 warga pendidik seluruh negara pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di (PICC) di sini, malam tadi.

Ketika menyentuh peranan guru, Mohamed Azmin menjelaskan, warga pendidik merupakan agen perubahan yang efektif untuk melahirkan sebuah bangsa berjiwa merdeka, memiliki akhlak mulia dan sentiasa ghairah untuk cemerlang.

Katanya, pendidikan bukan sekadar menimba ilmu tetapi juga merupakan proses pembentukan jati diri, menyuburkan nilai moral dan meletakkan asas pembinaan tamadun.

“Menurut Plato, pembentukan sebuah negara yang adil harus bermula dengan usaha melahirkan penjaga negara sebagaimana guru adalah penjaga generasi muda negara,” katanya.

=EZY=


Pengarang :