BERITA UTAMANASIONAL

Terima kasih rakyat pilih PAKATAN ke Putrajaya

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 10 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali gembira apabila tema ‘Selangor Masa Depan Malaysia’ yang dilaungkan selama ini menjadi kenyataan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan baru di Putrajaya.

Beliau yang ditemui selepas sidang media di Hotel Sheraton percaya Kerajaan Persekutuan yang baru ini akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang.

“Kita bersyukur kerana rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka dalam PRU-14 ini dan telah memberikan sokongan begitu kuat dan padu kepada PAKATAN, bukan sahaja mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga membentuk kerajaan baru di Persekutuan.

“Ini satu perkara yang amat positif dan saya percaya dengan sokongan serta mandat diberikan ini, PAKATAN akan melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah bagi membangunkan sebuah negara yang wibawa, gagah dan makmur Insya-Allah,” katanya.

Menyentuh soal kedudukannya sama ada untuk kekal di Selangor atau ke Putrajaya, Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa itu menyatakan masih belum membuat keputusan

“Saya akan mengadap DYMM Tuanku dalam masa terdekat dan perkara ini akan dibincangkan kerana saya mahu transisi itu berjalan dengan baik serta teratur.

“Akhirnya kita mahu Selangor dan Putrajaya terus maju di masa akan datang,” katanya.

PAKATAN membentuk Kerajaan Persekutuan selepas berjaya memperoleh lebih 112 kerusi Parlimen sekaligus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Malaysia lebih 60 tahun.

Selain itu, mereka turut berjaya menawan Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah serta mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang serta Selangor.

Parti Warisan yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berjaya menakluk Sabah.

Manakala PAS mengekalkan kemenangan di Kelantan selain kembali merampas Terengganu.


Pengarang :