NASIONAL

Tindakan SPR, tidak lemah semangat PAKATAN lawan kerajaan korup

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 MEI: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan gambar Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak akan melemahkan semangat parti untuk terus melawan kerajaan korup, Barisan Nasional (BN).

Calon PAKATAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, usaha dilakukan SPR itu tidak mampu menghentikan sokongan rakyat terhadap Dr Mahathir dan PAKATAN dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

“Mereka boleh hentikan kita memaparkan dan menggunakan gambar Pengerusi kita tapi mereka tidak boleh hentikan api kemarahan rakyat terhadap BN dan harapan terhadap kerajaan baharu PAKATAN.

“Mereka boleh menurunkan dan merosakkan semua gambar Dr Mahathir tetapi kita rakyat Malaysia tidak akan mengaku kalah dan akan menunjukkan kekuatan untuk terus melawan kerajaan kotor dan korup ini,” katanya.

Walaupun sudah menjangka tindakan SPR seperti mana PRU sebelumnya, namun calon dari DAP itu berkata, tindakan terbaharu itu amat tidak munasabah dan matang.

Katanya, ia mengecewakan kerana SPR sebagai badan mengendalikan PRU sepatutnya bersifat adil dan berkecuali.

“Dr Mahathir sebagai Pengerusi PAKATAN mewakili pasukan dan adalah ikon semangat kita.

“Kewujudan beliau dalam bahan pengiklanan adalah sama seperti kewujudan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam bahan pengiklanan BN,” katanya.

Jamaliah berkata, Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (RoS) juga berniat jahat dengan menafikan hak PAKATAN mendaftar sebagai satu pakatan politik dan bersifat berat sebelah.

“Ini menunjukkan BN begitu takut dengan kekuatan PAKATAN terutama Dr Mahathir,” katanya.

=EZY=


Pengarang :