SELANGOR

Trek rekod cemerlang, rakyat yakin janji tambah IPR

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Rakyat yakin Kerajaan Negeri mampu menambah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) ekoran trek rekod cemerlang menjaga kebajikan rakyat.

Calon DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menabur janji kosong untuk meraih undi semata-mata.

“Calon BN janji mahu jadikan Paya Jaras bandar satelit tetapi boleh percayakah kerana sebelum ini sebatang lampu isyarat di Jalan Persekutuan pun tak boleh buat.

“Selepas menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, saya berjumpa Menteri Kerja Raya dan dua bulan selepas itu barulah dapat lampu isyarat di Jalan Zahidin untuk memudahkan kira-kira 5,000 penduduk keluar masuk dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara 10 Janji 100 Hari di Taman Saujana Utama di sini, malam tadi.

Mohd Khairuddin berkata, kegagalan BN melaksanakan perkara asas membuktikan ketidakmampuan mereka melaksanakan perkara lebih besar.

Katanya, selain BN, kemampuan PAS untuk melaksanakan manifesto mereka turut diragui ekoran negeri yang dikuasai sekian lama tidak mempunyai trek rekod yang boleh dijadikan bukti kepada rakyat.

“Berpuluh tahun PAS kuasai Kelantan tetapi kenapa tidak buat seperti manifesto mereka sedangkan Kelantan lebih mudah kerana tidak mempunyai masyarakat majmuk seperti Selangor,” katanya.


Pengarang :