NASIONAL

Tun M mahu kaji semula dasar kerajaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mohathir Mohamad akan mengkaji semula dasar kerajaan terdahulu termasuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Beliau turut memberi bayangan akan mengecilkan saiz kementerian dan kementerian di bawah Jabatan Perdana Menteri akan digugurkan.

Katanya, pihaknya juga memberi jaminan bilangan penjawat awam tidak akan dikurangkan tetapi akan dipindahkan mengikut kesesuaian agensi, termasuk sektor swasta.

“Semua dasar lama akan dikaji semula. Penjawat awam di kementerian yang terbabit dengan penstrukturan semula akan dipindahkan ke jabatan dan agensi tertentu mengikut kesesuaian bagi mengelak mereka hilang pekerjaan.

“Kita tidak akan gugurkan mereka (penjawat awam) selepas mereka bekerja sekian lama dengan kerajaan, kita akan cari kaedah untuk tempatkan mereka ini di jabatan dan agensi lain.

“Dahulu kita swastakan Telekom, selepas itu pekerja di bawahnya juga masih berkhidmat dengan agensi itu,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Sementara itu, beliau memaklumkan perjumpaannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha kementerian bagi membincangkan maklum balas arahan yang diberikan dan tindakan ke atas beberapa pegawai.

“Kita berjumpa untuk mengetahui kemajuan arahan yang diberi kepada KSN berhubung susunan kerajaan dan tindakan ke atas beberapa pegawai akan dilakukan secara tersusun mengikut undang-undang serta peraturan,” katanya.


Pengarang :