EKONOMIGLOBAL

Wall Street catat kejatuhan harian terbesar

NEW YORK 30 MEI: S&P 500 dan Dow Jones Industrial Average mencatat kejatuhan harian terbesar dalam tempoh sebulan berikutan ketidaktentuan politik di Itali mencetuskan kebimbangan berhubung kestabilan zon euro manakala saham perbankan Amerika Syarikat (AS) jatuh.

Itali gagal menubuhkan kerajaan campuran sejak pilihan raya Mac lalu, yang menyaksikan peningkatan parti ‘anti-establishment’ yang menyokong negara itu meninggalkan euro.

Calon terkini bagi jawatan perdana menteri gagal mendapat sokongan parti-parti politik utama negara itu.

Krisis di Rome, dan ancamannya kepada projek euro yang diwakilinya, menyebabkan ramai beralih kepada pelaburan selamat seperti hutang AS, dan ini menarik turun pulangan bon Perbendaharaan 10 tahun AS sekali gus menyebabkan kerugian dalam kaunter perbankan AS.

Dow Jones Industrial Average susut 391.64 mata, atau 1.58 peratus, kepada 24,361.45.

S&P 500 turun 31.47 mata, atau 1.16 peratus, kepada 2,689.86.

Nasdaq Composite turun 37.26 mata, atau 0.5 peratus, kepada 7,396.59.

Saham JPMorgan Chase yang jatuh 4.3 peratus, menerajui kejatuhan pada S&P 500.

Sejumlah 7.58 bilion saham bertukar tangan, berbanding 6.58 bilion purata 20 hari dagangan sebelum ini.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :