SELANGOR

Kerajaan Negeri mahu bincang soal perumahan rakyat bersama KPKT

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin bagi membincangkan soal perumahan rakyat di Negeri Selangor.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menyediakan projek perumahan berkualiti dan mampu dimiliki rakyat seiring dengan peningkatan kos sara hidup.

“Saya nampak kita perlu beri rumah berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah. Kerajaan bertanggungjawab menyediakan rumah berkualiti dan mampu dimiliki.

“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu bagi mencari langkah terbaik. Saya juga bercadang bertemu Menteri Perumahan bagi melihat perkara ini,” katanya.

Katanya, rakyat kini berhadapan masalah terutama bagi mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan antaranya disebabkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain harga pasaran rumah yang tinggi ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

Beliau berkata, kos harga barang binaan dijangka akan lebih rendah selepas ini susulan keputusan Kerajaan Persekutuan menurunkan kadar GST kepada sifar bermula 1 Jun lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya ini juga berpandangan, Kerajaan boleh mempertimbangkan projek pembangunan semula di beberapa kawasan yang sudah mengalami penurunan kadar kepadatan penduduk bagi membuka ruang kepada penempatan perumahan baru.

“Saya bersama pasukan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang melihat contoh yang baik untuk pembangunan semula dikawasan ditinggalkan seperti di Petaling Jaya dan Klang bagi memenuhi permintaan rakyat.

“Penyelesaian tidak boleh dilakukan menerusi satu portfolio sahaja sebaliknya semua portfolio berkaitan kos sara hidup dan kemiskinan bandar mesti duduk bersama.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu memainkan peranan dari segi pembayaran gaji supaya mereka mendapat gaji setimpal dengan kos sara hidup seterusnya mampu memiliki kediaman,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri tidak mampu menyediakan pembiayaan pinjaman seperti sebuah bank tetapi pengenalan Skim Smart Sewa buat rakyat Selangor merupakan salah satu usaha membantu mereka memiliki rumah sendiri.

Skim Smart Sewa merupakan program Kerajaan Negeri yang membantu penyewa memiliki kediaman menerusi pemulangan deposit sewa pada kadar minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Pemulangan deposit berkenaan boleh digunakan sebagai wang pendahuluan bagi pembelian membeli kediaman.

Dibawah Skim Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri menawarkan kediaman untuk dimiliki rakyat pada harga RM42,000 sehingga RM250,000.

=EZY=

 


Pengarang :