SELANGOR

Komitmen bantu petani, nelayan diteruskan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan Negeri disaran mempertimbang cadangan menyediakan lebih banyak inisiatif berterusan dan peruntukan jangka panjang kepada golongan nelayan dan petani seluruh negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Sekinchan, Ng Suee Lim yakin, komitmen pentadbiran negeri mengangkat martabat golongan itu kekal konsisten.

Katanya, ia turut didokong kemampuan Kementerian bertanggungjawab di Putrajaya yang boleh membantu golongan itu.

“Namun, bantuan yang diberikan di peringkat pentadbiran negeri diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita tidak mahu wujud lagi aduan yang mendedahkan ada golongan nelayan atau petani yang mengambil kesempatan atau menyalahguna bantuan yang diberikan.

“Contohnya ada antara mereka yang menjual semula bantuan yang diberikan itu dan perkara ini tentu sekali mendapat perhatian serius di peringkat pentadbiran negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, komitmen Kerajaan Negeri membantu golongan tani dan nelayan dizahirkan di bawah peruntukan bantuan kelengkapan dan baja pertanian.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga pernah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM8.5 juta kepada petani yang terjejas akibat wabak hawar daun.

=EZY=


Pengarang :