Selangorkini
NASIONAL

KKMM beri tumpuan tingkat perkhidmatan telekomunikasi luar bandar

NASIONAL 30 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata kementeriannya memberi tumpuan kepada usaha menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar dan kampung di negara ini.

Beliau berkata ini kerana ia mampu memberi faedah kepada rakyat seluruh negara.

“Beberapa pandangan dan opsyen telahpun diketengahkan untuk perkara ini. Harap-harap ada keputusan dan pengumuman dalam masa terdekat. Terima kasih,” katanya di laman Twitter sebagai reaksi kepada cadangan pengguna akaun ‘@TuanAzmer’ berkaitan kualiti perkhidmatan internet dan talian komunikasi di luar bandar.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata beliau akan membangkitkan isu kandungan drama televisyen tempatan yang didakwa tidak mempunyai elemen yang mampu membina modal insan dalam mesyuarat kementerian itu akan datang.

Ia sebagai menjawab aduan pengguna akaun Twitter @MalequeArrasyid mengenai penyiaran drama televisyen yang hanya mengetengahkan kisah percintaan.

“Kalau ada cadangan-cadangan berkenaan jenis program yang lebih sesuai, sila maklumkan kepada saya. Terima kasih,” kata Gobind.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :