BERITA UTAMASELANGOR

MB rakam ucapan takziah pemergian jurukamera Media Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari, merakamkan ucapan takziah atas pemergian Jurukamera Media Selangor, Khairuddin Jamaluddin, yang pulang ke rahmatullah, sekitar jam 11.20 malam tadi.

Menulis di Twitter, beliau mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan oran beriman dan mendapatkan pengakhiran sebaiknya.

“Mendapat perkhabaran dukacita jurukamera TV Selangor, saudara Khairuddin Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai Abang Din telah pulang ke rahmatullah sebentar tadi akibat pendarahan dalaman.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan mengurniakan syurga yang penuh nikmat. Al Fatihah” tulisnya di Twitter.

Difahamkan, Khairuddin, 51, menghembuskan nafas terakhir Hospital Serdang akibat pendarahan di dalam perut.

Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli, turut menzahirkan rasa sedih di atas pemergian Allahyarham.

Katanya, beliau mengenali Allahyarham sebelum beliau dilantik menjadi wakil rakyat lagi kerana sikap Khairuddin yang peramah dan mesra dengan sesiapa dikenalinya.

“Arwah Abg Din seorang yang amat lembut dan baik hati. Sering tegur sapa ketika saya bertugas, di SUK.

“Arwah antara rakan media yang saya kenali rapat. Saya berasa amat sedih dan masih terkejut mendengar berita ini.

“Arwah Abg Din mempunyai isteri yang juga sakit. ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi sebelum ini pernah meluluskan bantuan untuk isterinya. Tetapi rupanya Allah SWT lebih menyayangi arwah. Moga dikau damai disana. Al Fatihah,” tulisnya di laman Twitter.

Allahyarham Khairuddin meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia tiga tahun serta lima bulan.

Difahamkan jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor di kampung mertuanya di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan.


Pengarang :