PBTSELANGOR

MBPJ arah restoran 24 jam bersih premis

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 28 JUN: Bermula 1 Julai ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengarahkan semua premis makanan yang beroperasi 24 jam menutup operasi bermula jam 1 hingga 3 pagi untuk kerja pembersihan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jika gagal berbuat demikian, lesen operasi premis berisiko untuk dibatalkan.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua premis makanan mematuhi tahap kebersihan ditetapkan, terutama bagi kedai makan yang padat.

“Dijangkakan 98 premis makanan akan terlibat, waktu kerja pembersihan dari jam 1 hingga 3 pagi kerana MBPJ tidak mahu sebarang alasan diberikan pemilik premis setelah operasi kebersihan dijalankan.

“Sekarang tiada lagi alasan mereka tiada masa untuk lakukan kerja pembersihan,” katanya selepas tamat Mesyuarat Penuh MBPJ, semalam.

Bagaimanapun, arahan kerja pembersihan itu tidak tertakluk ke atas kedai makanan segera 24 jam dan hotel ekoran premis berkenaan sudah mengenakan standard kebersihan tinggi.

Sejak 2017 hingga Mac 2018, sebanyak 2,096 pemeriksaan premis makanan diperiksa MBPJ.

Daripada jumlah itu, 76 premis makanan tidak bersih dan tidak berlesen ditutup di bawah Undang-undang Kecil Establishment Makanan (MBPJ) 2007.

Selain itu pada tempoh yang sama, sebanyak 2,024 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MBPJ) 2007, Undang – Undang Kecil Pengendali Makanan dan Undang-Undang Kecil Penjaja.

Sekiranya terdapat sebarang aduan berkenaan isu keselamatan makanan dan kebersihan premis, orang ramai boleh membuat aduan melalui emel [email protected] atau hubungi talian hotline 0379542020 atau laman facebook www.facebook.com/mbpjaduan.


Pengarang :