SELANGOR

Politik Malaysia tarik perhatian Indonesia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN Perkembangan politik Malaysia berjaya menarik minat pemimpin muda dari Indonesia, kata Ketua Umum Partai Solidaritas Indonesia (PSI), Grace Natalie.

“Saya dan juga pemimpin lain dalam PSI terkejut apabila mendengar rejim pemerintahan korup yang sudah lama bertapak di Malaysia berjaya ditumbangkan, lebih menarik perhatian apabila ia disertai pergerakan besar anak muda.

“Ini menunjukkan anak muda mempunyai pengaruh dan kekuatan amat besar dalam politik sesebuah negara,” katanya kepada SelangorKini selepas bertemu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di pejabatnya pagi tadi.

Grace berkata, kunjungan itu bagi mendapatkan input daripada pemimpin muda seperti Amirudin dalam mengendali sesebuah negeri setelah meraih kejayaan besar, pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, beliau turut gembira melihat politik di negara ini yang turut meletakkan pemimpin muda menerajui pemerintahan negara.

“PSI juga dipelopori ahli terdiri daripada usia 45 tahun dan ke bawah. Malah, kami mempunyai 42 peratus ahli wanita dan sudah tentu persamaan ini dilihat pada Malaysia juga.

“Saya berharap input diperolehi hari ini akan dibawa ke Indonesia sebelum menjelangnya pilihan raya di Indonesia dalam tempoh kurang 10 bulan dari sekarang,” katanya.


Pengarang :