PBT SELANGOR

MBSA sumbang RM45,494 buat Tabung Harapan Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbangkan RM45,494 buat Tabung Harapan Malaysia (THM).

Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, sumbangkan itu dibuat 74 pegawai MBSA dari Kumpulan Gred 44 hasil daripada potongan bonus sebanyak 10 peratus yang diumumkan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada awal bulan ini.

“Wang sumbangan itu sudahpun disalurkan kepada tabung tersebut, bagaimanapun jumlah pegawai kami bagi kumpulan gred tersebut hanyalah sedikit dalam MBSA, walaupun begitu kami tetap komited menyalurkan 10 peratus sumbangan berkenaan.

“Pembayaran bonus sudahpun dibuat kepada semua kakitangan pada 25 Jun baru-baru ini,” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan 10 peratus daripada bantuan khas kewangan Aidilfitri untuk penjawat gred 44 negeri dan ke atas akan dipotong dan disalurkan ke THM.

Pengumuman itu dibuat Mohamed Azmin ketika mengumumkan bonus sebanyak sebulan gaji kepada 17,109 penjawat awam negeri yang disalurkan pada 25 Jun.

Sehingga kini jumlah THM yang dilaporkan melalui laman facebook rasmi Kementerian Kewangan Malaysia telahpun mencecah RM126,473, 886.40.

=EZY=

 


Pengarang :