SUKANKINI

PKNS FC benam Kelantan di Kota Bharu

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 20 JUN: PKNS FC berjaya menundukkan Kelantan dengan keputusan 2-0, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, semalam.

Kelantan dikejutkan dengan jaringan pelawat seawal minit ketiga menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti Bruno Oliveira yang memerangkap penjaga gol tuan rumah, Mohd Shahrizan Ismail.

Tanpa kelibat import Namibia dan Lazarus Kaimbi yang diketepikan kerana kecederaan, nyata menjejaskan rentak permainan skuad pengendali sementara, Yusri Che Lah.

The Red Warriors (TRW) membuat beberapa percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat, Imran Samso dan Cristiano Santos, namun berjaya diselamatkan penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Safee Sali gagal memanfaatkan peluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti, namun sedikit tersasar minit ke-44.

Bersambung babak kedua, PKNS FC berjaya mencipta peluang menambah jaringan menerusi sepakan Romel Ramazotti, namun ditangkap kemas Shahrizan Ismail.

Yusri membuat pertukaran taktikal menggantikan Imran dan Shafiq dengan Nik Azli Nik Alias serta Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi untuk memperkuatkan jentera serangan tuan rumah.

PKNS FC terus berada di depan menerusi jaringan Oliveira pada minit ke-86, sekali gus menutup peluang TRW untuk menyamakan kedudukan.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kredit Foto: PKNS FC Official


Pengarang :