GLOBAL

Ramai tak tahu bezakan berita betul, palsu

NEW YORK 19 JUN: Hanya suku golongan dewasa di Amerika Syarikat dapat membezakan kenyataan sahih atau pendapat dalam laporan berita, menurut Pusat Penyelidikan Pew dalam satu kajian yang disiarkan semalam.

Kajian itu membabitkan 5,035 orang dewasa Amerika berusia 18 ke atas yang dijalankan pada bulan Februari dan Mac lalu, bertujuan menentukan sama ada mereka boleh membezakan antara maklumat berfakta atau sekadar pandangan dalam berita.

Mereka diberi lima kenyataan berfakta seperti ‘perbelanjaan ke atas keselamatan sosial, Medicare dan Medicaid adalah peruntukan terbesar dalam bajet kerajaan Amerika dan lima kenyataan berbentuk pandangan seperti ‘demokrasi adalah konsep terbaik dalam membentuk kerajaan.’

Responden kemudian diminta untuk mengenal pasti yang mana kenyataan berfakta dan yang mana adalah pandangan.

Hanya 26 peratus responden dapat mengenal pasti lima kenyataan berfakta manakala 35 peratus mengenali lima yang berbentuk pandangan.

Kira-kira suku daripada mereka melakukan kesilapan dalam membezakan kedua-duanya, menurut kajian itu.

Ia juga mendapati, kemampuan peserta mengkelaskan kenyataan berfakta atau pandangan kebanyakannya berdasarkan kepada kesedaran politik masing-masing, keyakinan kepada sesuatu media, tahap ilmu digital atau sejauh mana keyakinan mereka menggunakan alat digital serta internet.

Hasil kajian itu didedahkan ketika semakin banyak pihak gusar dengan berita palsu di internet dan media sosial, merujuk kepada berita tidak benar serta tidak berasas tetapi dilaporkan seolah-olah betul.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :