BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

SUKMA 2018: Selangor sasar 55 emas

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 JUN: Selangor mensasarkan 55 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19, di Perak, pada September ini, sekali gus mempertahankan kejuaraannya.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohd Zubir Idrus berkata, sasaran pingat itu disifatkan realistik kerana 30 bakat muda berpotensi memenangi pingat emas, pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

“30 atlet ini adalah pemegang pingat emas untuk kontinjen Selangor, pada SUKMA sebelum ini, di Sarawak.

“Tahun ini mereka masih boleh bertanding dan kita harapkan boleh merangkul 55 pingat emas daripada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Persediaan Kontinjen Selangor ke SUKMA 2018, di Dewan Sri Bestari, INTEKMA Resort, malam tadi.

Mohd Zubir berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan penyusunan dan persiapan rapi pihaknya.

Sejak temasya itu mula dianjurkan, Selangor muncul juara sebanyak sembilan kali.

Dalam edisi SUKMA ke-18, Selangor berjaya mengutip 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa, menewaskan kontinjen tuan rumah, Sarawak di tangga kedua.

Sarawak tewas tipis dengan kutipan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa diikuti Terengganu di tangga ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.


Pengarang :