NASIONAL

TPM: Kerajaan siasat kes kahwin kanak-kanak 11 tahun

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 30 JUN: Kerajaan mengambil berat kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang tular di media sosial dan siasatan sedang dilakukan berhubung perkara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan terharu dengan responsif rakyat terhadap isu berkaitan dan telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan pemantauan juga siasatan secara menyeluruh mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, keputusan yang akan diambil harus bersifat inklusif demi memastikan kebajikan dan hak setiap pihak terpelihara.

“Kerajaan bersungguh dalam memastikan sistem perundangan di negara kita bersifat adil dan melindungi hak serta kehormatan semua pihak.

“Oleh itu, kita akan mengkaji kelompongan yang wujud dalam undang-undang sedia ada bagi memastikan ‘rule of law’ adalah undang-undang terbaik bagi semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kes perkahwinan lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun dikongsi isteri lelaki itu yang dimaklum rakannya lalu menjadi tular di laman sosial semalam.

Lelaki itu didakwa bernikah dengan kanak-kanak itu di Thailand pada 18 Jun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga berkata, kerajaan akan memastikan tidak ada diskriminasi atau penindasan terhadap mana-mana pihak termasuk kanak-kanak.

“Saya menyeru supaya mana-mana pihak mempunyai maklumat berhubung isu sama boleh melaporkan ke agensi terdekat seperti JKM serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara,” katanya.


Pengarang :