GLOBALNASIONAL

Trump mahu tingkat lagi kerjasama AS-Malaysia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhasrat mempertingkatkan lagi jalinan kerjasama dengan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara Asia, John Matthew Pottinger menerusi utusan khas kepada Kerajaan Malaysia berkata, Trump mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia dan Tun Dr Mahathir atas kemenangan dalam pilihan raya lalu.

“Saya berbesar hati menyerahkan surat berkenaan kepada kerajaan, hari ini.

“Menerusi surat itu, Trump menyatakan hasrat untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua negara. Ini adalah sebab kenapa saya datang ke Malaysia,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau yang dalam lawatan kerja ke negara ini berkata, pertemuannya dengan pegawai kerajaan dan dewan perniagaan AS bertujuan membincangkan berkenaan suasana perniagaan, di Malaysia.

“Hubungan antara dua negara terjalin sejak dahulu lagi dan kita juga berkongsi nilai demokratik serta hubungan komersial yang dinamik.

“Hubungan dua hala ini melangkaui parti politik antara kedua negara dan kami berharap kita akan terus bekerjasama memperkukuhkan hubungan ini,” katanya.

Beliau berkata, Sidang Kemuncak ASEAN pada November hadapan memungkinkan pertemuan pertama antara Trump dan Tun Dr Mahathir.

“Malaysia berhampiran Singapura, maka ada kemungkinan untuk kedua pemimpin ini bertemu,” katanya.


Pengarang :