NASIONAL

Tunggu ‘drama’ baru pentadbiran Perlis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 JUN: Kemelut kepimpinan tertinggi pentadbiran Perlis belum berakhir walaupun Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man selesai mengumumkan barisan Exco Negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sena, Asrul Nizan Abdul Jalil tidak menolak kemungkinan, wujud ‘drama’ baru membabitkan pucuk pimpinan tertinggi negeri, selepas Aildilfitri ini.

“Persetujuan ADUN-ADUN BN Perlis menerima perlantikan mereka sebagai Exco Kerajaan Perlis adalah semata-mata untuk mengelakkan DUN daripada dibubarkan.

“Sama ada kemelut ini sudah berakhir atau sebaliknya, kita akan lihat semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti dan ketika perlantikan Speaker Dun dibuat.

“Bagi kami wakil rakyat Pakatan harapan, kemelut ini tidak akan melarikan fokus kami untuk memperjuangkan hak rakyat Perlis,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, lapan ADUN negeri itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Menghadap Istana Arau.

Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan juga Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun, wujud persoalan umum membabitkan jumlah Exco negeri yang disifatkan terlalu ramai untuk sebuah negeri kecil, seperti Perlis.

Mengulas lanjut kata Asrul Nizan, beliau menjangkakan fungsi pentadbiran negeri di bawah Barisan Nasional Perlis sukar berperanan dengan baik.

Faktor itu katanya dikaitkan dengan perubahan pentadbiran tertinggi di peringkat Persekutuan, di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

“Daripada perbualan pemimpin umno Perlis yang kita dengar, mereka risau kerana Perlis takda pendapatan yang tinggi dan Kerajaan Pusat pula kini adalah Pakatan Harapan.

“Mungkin ini akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan seperti sebelum ini (ketika Umno memerintah Putrajaya),” katanya.

=EZY=


Pengarang :