Selangorkini
GLOBAL

14 maut, 60 cedera pengebom nekad serang lapangan terbang Kabul

KABUL 23 JUL: Sekurang-kurangnya 14 maut, manakala 60 lagi cedera dalam insiden pengebom nekad di pintu masuk ke lapangan terbang antarabangsa Kabul, semalam.

Ketika kejadian, orang ramai sedang berkumpul untuk menyambut ketibaan Naib Presiden Afghanistan, Abdul Rashid Dostum yang pulang dari buangan.

Insiden berlaku, sewaktu pegawai kanan, pemimpin politik dan penyokong Abdul Rashid sedang meninggalkan lapangan terbang.

“Ini adalah kali pertama saya menyaksikan sendiri insiden pengebom nekad.

“Orang ramai mengumpul cebisan daging manusia dengan menggunakan tangan.

“Apa yang sedang berlaku di Afghanistan sekarang,” kata seorang saksi kepada AFP.

Sementara itu, jurucakap Abdul Rashid, Bashir Ahmad Tayanj, berkata naib presiden itu yang menaiki kenderaan berperisai tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis, Hashmat Stanikzai, pula berkata sembilan anggota pasukan keselamatan dan polis trafik adalah antara mangsa yang terkorban.

Kumpulan pemantau risikan SITE yang memetik agensi berita rasmi militan Daesh, Amaq melaporkan mereka mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danish, berkata antara yang terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak dan anggota pasukan keselamatan.

SUMBER: AFP


Pengarang :