PBTSELANGOR

482 aduan diterima babit pengurusan strata

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JUL: Sebanyak 482 aduan berkaitan pengurusan strata diterima Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga Jun tahun ini.

Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar berkata, aduan yang diterima oleh Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

Katanya, ia membabitkan aduan berkaitan kewangan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan yuran selenggara.

“Tahun lalu, sebanyak 632 aduan dilaporkan dan semua diterima membabitkan aspek penyenggaraan bangunan dan harta bersama, akaun dan kewangan, pentadbiran dan pengurusan, mesyuarat dan pemilihan serta penguatkuasaan.

“Aduan paling banyak diterima berkaitan kewangan JMB iaitu penghuni atau pemilik rumah tidak menjelaskan yuran selenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pengurusan Strata Tahun 2018 di Wisma MBSA, di sini, semalam.

Rosli berkata, penghuni atau pemilik rumah perlu merujuk kepada Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) sekiranya berdepan dengan masalah membabitkan caj penyelenggaraan.

Pada masa sama, katanya, pengenalan cukai petak yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu, menggantikan cukai tanah memberikan kesan positif kepada pengurusan strata.

“Ia dapat mengurangkan masalah dihadapi pihak pengurusan bangunan dalam membuat kutipan cukai tanah melalui wang caj penyenggaraan serta memudahkan pemilik petak melaksanakan urus niaga,”katanya.


Pengarang :