PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL cadang tambah profesor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JULAI: Universiti Selangor (UNISEL) kini dalam proses menambah ahli akademik terdiri daripada profesor, kata Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Katanya, sehingga kini UNISEL mempunyai kira-kira 13 profesor yang berkhidmat di dua kampus, iaitu Shah Alam dan Bestari Jaya.

“Penambahan ini dibuat bagi meningkatkan lagi mutu akademik yang ditawarkan UNISEL kepada orang ramai, setakat ini kita sudah mengiklankan jawatan berkenaan kepada umum.

“Perlunya seorang profesor dalam sesebuah universiti memandangkan ia adalah pencapaian tertinggi akademik, dan jika kita ingin melahirkan pelajar cemerlang, maka kita perlu menyediakan guru yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Profesor kali ke-4, di UNISEL Kampus Shah Alam, pagi tadi.

Syarahan itu disampaikan Profesor Fakulti Seni Visual dan Pengkomputeran UNISEL, Prof Dr Azmuddin Ibrahim.

Pada masa sama, Mohammad Redzuan berkata, program itu adalah salah satu daripada tiga siri syarahan dijalankan UNISEL, termasuk Siri Syarahan Darul Ehsan dan Siri Syarahan Perdana.

Katanya, semua siri syarahan itu memperkenalkan tokoh terkemuka dalam bidang akademik.

“Siri syarahan ini adalah sebahagian daripada pendekatan akademik yang dianjurkan UNISEL bagi memberi maklumat kepada pelajar termasuk masyarakat setempat,” katanya.


Pengarang :