Selangorkini
BERITA UTAMA SUKANKINI

Akhir Piala Dunia 2018: Pasukan mana pilihan jadi juara?

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 14 JUL: Kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 yang berlangsung di Rusia semakin menghampiri kemuncaknya apabila pasukan Perancis dan Croatia akan berentap di gelanggang akhir malam esok.

Bahang perlawanan akhir itu turut dirasai oleh peminat sukan bola sepak di Malaysia termasuk Dato’ Menteri Besar sendiri, Amirudin Shari.

Apabila ditanya pasukan pilihan beliau yang bakal menjuarai kejohanan paling berprestij itu, beliau meramalkan Perancis bakal mengatasi Croatia dengan jaringan 3-1.

“Atas kertas masih lagi Perancis tetapi dah banyak kali ramalan saya salah.

“Lagi pun ikut prestasi semasa saya fikir Perancis namun Croatia dah cipta banyak kejutan dan tak mustahil Croatia juga mempunyai harapan tetapi saya rasa Perancis akan menang 3-1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Kesyukuran Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Khairuddin Othman pula memilih Croatia sebagai juara baru dengan jaringan 3-2 mengatasi Perancis.

“Walaupun Croatia pasukan ‘under dog’ tapi mereka dah buktikan mampu menewaskan pasukan gergasi lain seperti England dan tuan rumah sendiri.

“Tak dinafikan Perancis pasukan yang kuat tetapi Croatia akan bermain bermati-matian untuk hadiahkan juara Piala Dunia kali pertama untuk negara dan rakyatnya,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong turut memilih Croatia sebagai juara dengan jaringan 3-1.

“Ini peluang terbaik Croatia kerana mereka belum pernah sampai ke tahap ini, jadi sudah tentu mereka bersemangat tinggi nak menang,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Tze Han pula memilih Perancis sebagai pasukan pilihan.

“Dua pasukan pilihan saya pada Piala Dunia Kali ini adalah Perancis dan Brazil tetapi sekarang Perancis yang berjaya masuk ke peringkat final.

“Saya penyokong Perancis, dah tentu saya pilih Perancis menang 2-1,” katanya.

Manakala Speaker DNS, Ng Sue Lim pula sependapat dengan Mohd Khairuddin dan Elizabeth Wong, memilih Croatia.

“Croatia akan buat kejutan pada final esok tewaskan Perancis,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan meramalkan jumlah jaringan pada perlawanan yang dijangka sengit itu nanti.


Pengarang :