NASIONAL

Empat tuntutan Bersih 2.0 menjelang PRK DUN Sungai Kandis

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 JUL: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut pengurusan pilihan raya berpiawaian tinggi dilaksanakan semua pihak terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, Bersih 2.0 menggariskan empat tuntutan untuk dilaksanakan pihak terlibat sepanjang PRK Sungai Kandis berlangsung.

“Pertama, Bersih 2.0 menuntut supaya SPR menjalankan tanggungjawab secara bebas dan tidak berpihak termasuk mengambil tindakan ke atas individu atau parti yang melanggar undang-undang pilihan raya.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut memantau dan mengambil tindakan terhadap salah laku pilihan raya berkaitan rasuah, pembelian undi, penjamuan dan pemberian hadiah serta penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Shahrul Aman berkata, Bersih 2.0 juga menuntut supaya calon parti bertanding sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya.

Katanya, tuntutan keempat pula, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dituntut mematuhi garis panduan kerajaan sementara semasa PRK Sungai Kandis berlangsung bagi memastikan padang perlawanan sama rata untuk semua calon.

Kata Shahrul Aman lagi, Bersih 2.0 akan melancarkan misi pemerhatian oleh pasukan pemantau pada PRK Sungai Kandis bagi memantau sebarang salah laku bermula 21 Julai hingga 4 Ogos nanti.

“Enam kategori yang dipantau adalah rasuah dan pembelian undi, penjamuan dan pemberian hadiah; bantuan dan pemberian tidak wajar kerajaan; penggunaan jentera kerajaan dalam berkempen; perbelanjaan berlebihan atau majlis mewah; intimidasi, keganasan dan gangguan; sikap berat sebelah oleh institusi awam; masalah undi awal dan undi pos; masalah daftar pemilih dan masalah ketika hari pengundian,” katanya.


Pengarang :