PBT SELANGOR

Jangan sewa gerai kepada orang lain

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 JUL: Peniaga Medan Selera Seksyen 19, di sini, diingatkan supaya mengamalkan dan mematuhi peraturan pengendalian gerai sebaiknya sepanjang menjalankan operasi perniagaan mereka, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, saranan itu termasuk larangan memberi sewa gerai kepada pihak lain tanpa pengetahuan pihak berwajib.

Katanya, perkara itu wajar diberi penekanan serius bagi memastikan tiada peniaga melanggar arahan yang sudah ditetapkan.

“Penyewa gerai yang mendapat lesen sah harus manfaatkan peluang ini dengan baik kerana kita sudah menyediakan landasan kepada mereka untuk jana pendapatan sendiri.

“Kita mahu membantu peniaga yang komited untuk menstabilkan ekonomi, sekali gus berjaya dalam bidang ini tanpa sebarang halangan.

“Justeru, kita tidak mahu peniaga menyewakan kepada individu atau pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap mereka,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya Medan Selera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail, di sini, semalam.

Pada masa sama, Khalid merangkap Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan, pembukaan dewan makan berkenaan sudah pasti memberi pulangan baik kepada penyewa terutama lokasinya berhampiran stesen komuter.

“Ada sebahagian daripada peniaga sudah sebulan di sini, malahan saya difahamkan perniagaan mereka mendapat sambutan menggalakkan dan berjalan agak lancar.

“Saya cukup seronok melihat keadaan seperti ini kerana ia diyakini akan berkembang baik sepenuhnya dan terus maju,” katanya.

Terdahulu, medan selera itu secara rasmi mula beroperasi pada 1 Julai lalu selepas mendapat kelulusan tawaran daripada pihak pentadbiran MBSA.


Pengarang :