EKONOMISELANGOR

MB mahu Karnival Made In Selangor ke negeri lain

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu Karnival Made in Selangor diketengahkan ke beberapa negeri lain bagi menonjolkan produk keluaran usahawan Hijrah Selangor.

Beliau berkata, hasrat itu direalisasikan menerusi kerjasama Hijrah Selangor dan Aeon Mall, seperti sebelum ini.

“Produk-produk usahawan ini memang sudah dibawa ke negeri lain contohnya Pulau Pinang dan ketika saya menjadi Exco Pembangunan Usahawan sebelum ini, karnival Made in Selangor tahun ini dipasarkan sampai ke beberapa negeri lain.

“Karnival Made in Selangor ini memberi peluang besar kepada usahawan Hijrah dalam mengetengahkan perniagaan mereka ke khalayak ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidifitri Hijrah Selangor, di SUK.

Amirudin berkata sebelum ini beliau amat menggalakkan Hijrah Selangor terbabit dengan program mempromosikan semua usahawan mereka dalam negeri mahupun luar negara.

“Kerajaan Negeri secara perlahan-lahan menggalakkan Hijrah terbabit dengan banyak program termasuk promosi di dalam negeri dan luar negara.

“Saya percaya ia akan dikembangkan ke peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap Hijrah Selangor akan menjadi pusat sehenti bagi usahawan pada masa depan.

Beliau turut memaklumkan tiada rancangan untuk menaikkan kadar maksimum pinjaman buat masa ini.


Pengarang :