Selangorkini
Wanita masa kini perlu membahagikan masa menguruskan kerjaya, rumah tangga dan keluarga. Foto SELANGORKINI
KENYATAAN MEDIA

Bangunkan sistem sokongan bantu ibu bapa berkerjaya

ccsb-ads

Semalam (4 Julai 2018) negara kita telah digemparkan dengan tragedi kematian Allahyarham Adam Rayqal semasa beliau berada dalam jagaan pengasuhnya.

Untuk sementara ini, HELWA (Bahagian Hal Ehwal Wanita) ABIM Wilayah Persekutuan menggesa masyarakat seharusnya memberikan ruang privasi untuk kedua ibu bapa beliau di samping menghormati ruang pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.

HELWA ABIM Wilayah Persekutuan ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan mendoakan Ibu ayahnya diberi kekuatan dan kecekalan hati.

HELWA ABIM Wilayah Persekutuan menggesa agar Isu penjagaan kanak-kanak di Malaysia diberi perhatian yang serius selain memperkemas kerjasama antara pihak berkuasa, pusat penjagaan kanak-kanak dan ibu bapa.

Ini memandangkan kejadian membabitkan keselamatan anak-anak di bawah asuhan bukanlah kali pertama diperkatakan. Namun kejadian-kejadian seperti itu tidak bermakna kita perlu menafikan wujudnya khidmat asuhan serta pusat penjagaan kanak-kanak yang beroperasi dengan baik dan teratur, untuk memenuhi keperluan suasana yang agak mendesak.

Statistik menunjukkan Penyertaan wanita di Malaysia dalam sektor pekerjaan meningkat kepada 54.3 peratus. Pada tahun 2017, lebih 700,000 wanita bekerja dalam pelbagai sektor sekali gus menyumbang 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peningkatan ini jelas menunjukkan wanita ingin bersama memacu pembangunan negara tanpa mengesampingkan peranan mereka sebagai isteri dan ibu dalam keluarga.

Justeru, HELWA ABIM Wilayah merasakan sudah sampai masanya masyarakat sama-sama membina sebuah model sistem sokongan untuk dilaksanakan, bermula secara berkelompok yang berskala kecil di dalam wilayah pengaruh masing-masing.

Model sistem sokongan tersebut sangat penting bagi meringankan beban khususnya dalam kalangan keluarga muda, di mana kedua ibu bapa mempunyai komitmen karier yang perlu dipenuhi.

Model sistem sokongan ini boleh dikenalpasti bukan sahaja dalam kalangan keluarga terdekat, bahkan membabitkan jiran, rakan karib, mahukan rakan persatuan serta pertubuhan komuniti.

Pembinaan model sokongan boleh dimulakan daripada kumpulan kecil dalam ruang pengaruh kita. Bertitik daripada situ sesi-sesi pertemuan berkala seperti usrah serta ziarah perlu diadakan secara konsisten untuk membina kepercayaan.

Kepercayaan tersebut akan membentuk ‘extended family’ yang tidak mempunyai pertalian darah namun, masih dari kalangan mereka yang dikenali dan dipercayai.

Daripada model sokongan tersebut, HELWA ABIM Wilayah Persekutuan juga berpandangan masyarakat atau sesebuah badan komuniti boleh membangunkan pusat asuhan kanak-kanak untuk dimanfaatkan oleh ibu bapa yang memerlukan.

Yang paling penting, sekiranya pusat ini diwujudkan pemantauan dan sokongan kerajaan amat diperlukan untuk menyediakan ruang pelatihan dan dokumentasi perundangan dalam bentuk lesen.

Mengambil maklum peranan LPPKN dalam merangka modul seperti PEKA khusus sebagai latihan dan kesedaran keselamatan kanak-kanak yang diajarkan di tadika-tadika dan pusat asuhan kanak-kanak, HELWA ABIM Wilayah Persekutuan menyambut baik usaha yang dilakukan pihak berwajib dan diharapkan penambahbaikan sentiasa dilakukan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

HELWA ABIM Wilayah Persekutuan juga menyeru agar orang awam menggunakan media sosial sebaiknya dengan menjaga batas dan sensitiviti dengan meletakkan rasa empati yang tinggi kepada keluarga yang terlibat.
Proses pendidikan masyarakat perlu berterusan dan seiring untuk membina negara maju dan sejahtera.

Raja Nurul Balqis bt Raja Md Arif
Ketua Helwa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Wilayah Persekutuan
Abim Wilayah Persekutuan


Pengarang :